url
stringlengths
37
166
headline
stringlengths
1
136
content
sequence
https://www.melakahariini.my/penyelidik-utem-bangunkan-sistem-pengasingan-sisa-pepejal-domestik-pintar/
Penyelidik UTeM bangunkan Sistem Pengasingan Sisa Pepejal Domestik Pintar
[ "AYER KEROH 19 Mei – Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerlahkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan membangunkan Sistem Pengasingan Pepejal Domestik Pintar.", "Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus menzahirkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu dan penyemarakan budaya perkongsian kepakaran dalam aspek penyelidikan dan inovasi.", "Jelasnya, melalui sistem atau alat pengasingan sisa pepejal domestik pintar itu, ia dapat mengesan dan mengasingkan beberapa jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, botol, logam dan bahan-bahan lain yang dinamakan sebagai Intelligent Trash Sorting System (i-BIN).", "“Kejayaan penciptaan ini tentunya akan akan menjadi rujukan dan panduan kepada pihak berkaitan kerana ianya memberikan impak kebaikan dan kesenangan untuk komuniti sejagat,” katanya dalam satu kenyataan.", "Sistem itu dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim bersama dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian dari Fakulti Kejurteraan Elektrik (FKE) iaitu Muhammad As Shakirin Abdul Aziz dan Nur Al Aswad Zulkefli.", "Mengulas mengenai produk inovasi itu, Dr Anuar berkata, sistem i-BIN berfungsi untuk mengasingkan secara terus bahan sisa pepejal kepada tong sampah yang telah ditetapkan bagi bahan tersebut.", "Katanya, sistem i-BIN menggabungkan semua konsep teknologi penderia terkini yang dibangunkan sendiri yang dapat mengesan jenis setiap sisa pepejal tersebut secara efektif dan tepat.", "“Sistem ini digabungkan dengan sistem kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT) yang disambungkan kepada sistem Wi-Fi dan sistem pemantauan setelit yang dapat mengesan kedudukan tong sampah tersebut,” katanya lagi.", "Mengulas lanjut Dr Anuar berkata, semua teknologi itu digabungkan dalam satu alat tambahan yang boleh dipasang pada tong sampah sedia ada bagi memudahkan proses transformasi dan integrasi sistem pintar ini bersama tong sisa pepejal sedia ada.", "“Sehubungan rangkaian teknologi itu, sistem pesanan melalui aplikasi Telegram bersama platform digital dashboard akan dihantar kepada syarikat pengumpul sisa pepejal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terus.", "“Ia bagi pemantauan secara real time berasaskan lokasi dan tahap kapasiti sisa pepejal terkumpul di setiap pusat pengumpulan sisa bagi pengutipan pintar dan terancang berasaskan kecerdasan pintar yang sangat berpotensi dalam menjayakan kelestarian alam sekitar, ekonomi dan daya huni Malaysia,” ujarnya." ]
https://www.melakahariini.my/paluan-kompang-kian-sepi/
Paluan kompang kian sepi?
[ "Namun, peranan kompang perlu dilihat daripada susut pandang lebih luas, bukan sekadar memeriahkan masih diadakan sebaliknya sebagai khazanah warisan negara yang perlu terus dipulihara.", "Meskipun industri muzik melalui transformasi yang amat pantas, namun masih ramai lagi yang mencintai seni memalu kompang dan berjuang untuk mengekalkannya.", "Penasihat Persatuan Kompang Hadra Ezhar Millenium Kampung Lanjut Manis, Krubong, Nuredeen Nordin, 45, berkata dia mempelajari dan mengkaji seni kompang sejak usia remaja dan berasa amat bangga kerana dapat berkongsi kemahiran dimiliki bersama anak muda.", "Lebih membanggakan beliau apabila, ada dalam kalangan anak muridnya yang sudah mahir membuka persatuan kompang di tempat lain, sekali gus mengembangkan lagi ilmu memalu alat muzik tradisional itu.", "“Alhamdulillah, bila mengajar seni asas kompang dan ilmu itu dapat disebarkan, insya-Allah seni warisan ini akan terus segar, cuma diharapkan ilmu itu dapat diamalkan.", "“Sehingga kini, ada 15 ahli persatuan kompang berusia dari 11 hingga 52 tahun termasuk dua perempuan. Pada kebiasaan kami akan berlatih seminggu tiga kali pada waktu malam.", "“Mengumpul dan himpunkan anak-anak muda di kampung ini menyertai persatuan antara usaha untuk terus menghidupkan seni muzik kompang yang semakin dipinggirkan, daripada melihat mereka membuat perkara tidak berfaedah, lebih baik mereka sertai persatuan ini,” katanya.", "Menurut Nuredeen atau lebih mesra dipanggil Idin, paluan kompang pada suatu masa dahulu wajib diperdengarkan dalam mana-mana majlis kebesaran di kampung, khususnya majlis beradat Melayu.", "Katanya, orang dahulu menganggap sesuatu majlis itu ‘mewah’ jika ada persatuan kompang yang dipanggil, apatah lagi jika untuk menghiburkan ‘Raja Sehari’.", "Menurutnya, sebagai penasihat dan juga individu bertanggungjawab untuk mengubah lagu-lagu akan dibawakan mengikut majlis, dia sering berlatih sendirian memalu kompang mencari rentak pada waktu malam selepas pulang kerja.", "“Paluan kompang ini merupakan tradisi Melayu, memukul kompang sambil menyanyi ataupun bersyair dalam versi Arab ataupun bahasa Melayu dan kini diinovasi sebagai paluan moden, paluan tersebut diselitkan dengan gerakan ataupun tarian.", "“Bermain kompang ini tidak akan membuat kita kaya, namun ilmu bermain kompang ini tidak semua orang miliki dan saya sering memberi pesanan sama seperti pesanan yang saya terima dahulu, bermain kompang ini perlu ikhlas.", "“Pada bayaran pula, kita mengenakan caj penetapan mengikut kawasan iaitu RM220 sekali kompang, dan jika di luar kawasan Krubong, kita akan bincang dengan tuan rumah, sekali dengan pengangkutan kita kenakan sehingga RM 280,” katanya.", "Menurut Idin, persatuannya juga akan menggunakan jidor sebagai ‘ibu rentak’ sebelum kompang dipalu yang akan digunakan oleh ketua kumpulan mengetuai kompang mereka.", "“Kompang ini merupakan alat muzik yang dikategorikan sama seperti gendang, namun kompang hanya menggunakan tangan untuk memalu manakala gendang mempunyai alat pemalu.", "“Bunyi kompang ini diperoleh dengan memalu atau memukul, hasil tepukan tidak selalu sama, terkadang bunyinya besar, ada juga bunyi kecil, ia bergantung kepada posisi telapak tangan ketika memalu.", "“Manakala, jidor akan mengeluarkan bunyi seakan gendang atau dipanggil ‘drum’ Melayu ini menghasilkan bunyi kuat, sekali gus mengetuai paluan kompang, kerana itu ada yang memanggil kompang jidor kerana ia digabungkan dalam satu kumpulan,” katanya.", "“Kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini ada juga menggunakan kulit lembu, kerbau dan paling baru getah sintetik.", "“Bahagian belakang kompang ada gelung plastik tebal diselit antara bingkai dan kulit penutup bertujuan untuk menala bunyi. Pada waktu dahulu, rotan digunakan, kompang ini saiznya berbeza-beza bermula daripada 10 inci, 12 inci, 15 ini dan 16 inci.", "“Kompang pada zaman dahulu biasanya berukuran enam belas inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan. Ia mempunyai bukaan cetek dan dimainkan dengan memegang sebelah tangan sementara dipalu dengan sebelah tangan yang lain.", "“Manakala jidor pula diperbuat dari kulit lembu matang dan kebiasaan dibuat dengan kepanjangan dua kaki, berdiameter 21 dan besarnya 18 inci.", "“Kesemua kompang dan jidor ini kami tempah di Parit Jawa, Johor kerana di Melaka sudah tiada orang yang membuatnya lagi,” katanya.", "“Ibu tidak melarang, bahkan menggalakkan saya aktif bersama persatuan ini selain mendalami ilmu persilatan. Bagi saya silat dan kompang adalah dua benda yang melambangkan Melayu.", "“Saya harap dapat membawa seni kompang ini ke peringkat lebih tinggi, kerana sehingga kini apa sahaja pertandingan melibatkan kebudayaan dalam dan luar sekolah saya akan ambil bahagian,” katanya yang pernah menjadi juara pertandingan kebudayaan di sekolah.", "Jelas Dhea Aleeya dia mengambil masa tiga bulan untuk mahir menggunakan kompang dan akan mengikuti persatuan jika dipanggil untuk membuat persembahan." ]
https://www.melakahariini.my/suami-isteri-disyaki-dera-anak-saudara-sehingga-mati-direman-7-hari/
Suami isteri disyaki dera anak saudara sehingga mati direman 7 hari
[ "Pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu yang merupakan ibu dan bapa saudara yang menjaga kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.", "Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada kira-kira 3.14 pagi.", "Mior Faridalathrash berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.", "Katanya bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul. – BERNAMA" ]
https://www.melakahariini.my/motac-tawar-40-peratus-diskaun-kompaun-kepada-pengusaha-dan-pemandu-pelancong-berlesen/
MOTAC tawar 40 peratus diskaun kompaun kepada pengusaha dan pemandu pelancong berlesen
[ "PUTRAJAYA 24 Dis – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun sehingga 30 Jun 2021.", "Dalam kenyataan hari ini, MOTAC memaklumkan kementerian juga memberi perlanjutan tempoh pembayaran kompaun sehingga 30 Jun 2021 bagi semua kompaun yang dikeluarkan kepada pemandu pelancong atau pengusaha pelancongan berlesen.", "MOTAC memberitahu kelonggaran hal berkaitan kompaun kepada pengusaha pelancongan berlesen dan pemandu pelancong berlesen adalah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].", "“Namun demikian, kementerian menegaskan bahawa kegagalan untuk menjelaskan kompaun yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan pendakwaan diambil kepada syarikat atau pemandu pelancong yang berkaitan,” katanya – BERNAMA" ]
https://www.melakahariini.my/skuad-tenis-remaja-melaka-singapura-beradu-kekuatan/
Skuad tenis remaja Melaka, Singapura beradu kekuatan
[ "AYER KEROH 23 Mei – Skuad tenis remaja Melaka beradu kekuatan dengan skuad tenis remaja Singapura dalam satu aksi persahabatan yang diadakan di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), MITC, di sini, baru-baru ini.", "MLTA dalam satu kenyataan memaklumkan, acara itu juga diadakan sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan mendatang termasuklah Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur yang dijadual pada September depan.", "“Acara seperti ini juga menjadi medan kepada pemain meningkatkan tanda aras kemahiran dan prestasi mereka selain mendapat tunjuk ajar dan perkongsian pengalaman daripada otai dalam sukan tenis.", "“Antara yang hadir ialah bekas juara kebangsaan Tan Poh Seng; bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Perlis William Cheng Joo Chong dan bekas Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia Lee Seck Chuan yang turut berkongsi ilmu kepada jawatankuasa baharu MLTA,” kata kenyataan itu.", "MLTA kini berada di bawah pengurusan baharu dengan 14 pemegang jawatan sudah memulakan tugas dalam memacu sukan tenis negeri ke aras yang lebih tinggi.", "“Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam sukan ini, tidak dilupa juga kepada kerajaan negeri dan penaja-penaja yang banyak memberi sumbangan.", "“Begitu juga kepada ibu bapa yang tidak putus-putus memberi semangat untuk memajukan sukan tenis di Melaka. Kami berjanji akan berusaha lebih gigih untuk merealisasikan hasrat tersebut,” kata MLTA." ]
https://www.melakahariini.my/banjir-di-baling-mayat-terakhir-daripada-tiga-sekeluarga-ditemukan/
Banjir di Baling: Mayat terakhir daripada tiga sekeluarga ditemukan
[ "Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.", "Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas penemuan dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi berhampiran.", "“Mayatnya ditemukan di bawah timbunan kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.", "Terdahulu, dua mayat daripada tiga sekeluarga itu, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak.", "Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam." ]
https://www.melakahariini.my/pemuda-dikhuatiri-lemas-dua-rakan-selamat-bot-terbalik/
Pemuda dikhuatiri lemas, dua rakan selamat bot terbalik
[ "MACHANG, 25 Jan – Seorang pemuda dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki bersama dua rakannya terbalik di Sungai Kelantan berdekatan Pangkalan Pasir Haji Pa, Paloh Rawa, di sini malam tadi.", "Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian berlaku pada 8.45 malam ketika mangsa, Hisyamuddin Zulkifli, 23, bersama dua rakannnya berusia 39 dan 23 tahun memasang pukat di kawasan sungai tersebut.", "“Dua rakan mangsa berjaya berpaut pada tali sauh feri pasir manakala mangsa cuba berenang ke tebing sungai. Selepas dua rakan mangsa berenang dan tiba di tebing sungai, mereka tidak nampak kelibat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.", "Mohd Adli berkata dua rakan Hisyamuddin telah naik ke darat dan mengambil sebuah bot lain sebelum turun semula ke sungai itu namun gagal menjumpai mangsa.", "“Seramai 12 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba di lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya.", "Beliau berkata disebabkan arus sungai yang deras dan keadaan gelap, operasi SAR dimulakan 8 pagi tadi oleh Unit Selam JBPM dan pasukan mencari dipermukaan air melibatkan polis, APM, JBPM serta penduduk setempat sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian." ]
https://www.melakahariini.my/muhyiddin-pesan-zii-jia-jadikan-kejayaan-all-england-perangsang-untuk-lebih-cemerlang/
Muhyiddin pesan Zii Jia, jadikan kejayaan All England perangsang untuk lebih cemerlang
[ "KUALA LUMPUR 22 Mac. – Kejayaan manis jaguh perseorangan lelaki negara yang merangkul Kejuaraan Badminton All England 2021 malam tadi menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.", "Muhyiddin menasihati Zii Jia agar menjadikan kemenangan sulung pada pertandingan badminton tertua di dunia itu sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang memandangkan perjalanan kariernya yang masih jauh dalam sukan tersebut.", "“Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara. Tahniah juga kepada BAM (Persatuan Badmintoin Malaysia) dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini.", "“Seluruh peminat sukan negara, khususnya badminton, tentunya begitu teruja dengan kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia merangkul kejuaraan kejohanan badminton All England, sebentar tadi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.", "Zii Jia mencipta sejarah buat dirinya apabila merangkul gelaran All England buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 pada aksi final di Utilita Arena, Birmingham pada Ahad.", "Muhyiddin turut menyifatkan kejayaan pemain berusia 22 tahun dari Kedah itu memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda berkenaan selepas ditewaskan pemain sama di peringkat separuh akhir kejohanan tersebut tahun lalu.", "Kali terakhir gelaran berprestij itu dimenangi pemain negara ialah pada edisi 2017 menerusi Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan pemain China, Shi Yu Qi, 21-12, 21-10.", "Zii Jia mengakhiri kemarau gelaran hampir tiga tahun selepas menjuarai Terbuka Taiwan pada 2018 apabila mengatasi pemain Jepun, Riichi Takeshita, 21-17, 16-21, 21-11." ]